TS Jeffry adakan rumah terbuka setiap kali sambutan Tahun Baru

TS Jeffry adakan rumah terbuka setiap kali sambutan Tahun Baru

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Dapat berkumpul bersama keluarga menjadi detik indah dalam sambutan Tahun Baharu Cina bagi penerbit dan pengarah filem Mar Rak, Datuk TS Jeffry.

Katanya, pada tahun ini sembilan adiknya yang menetap di Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu akan pulang ke kampung di Tendong untuk meraikan perayaan itu bersama ibu, Chun Thai, 72, atau lebih dikenali sebagai Mek Mah.

Jeffry berkata, Tahun Baharu Cina amat ditunggu kerana mereka sekeluarga dapat berkumpul selepas masing-masing sibuk dengan urusan harian.

“Kami akan makan besar dan pagi raya kebanyakan daripada kami akan memakai pakaian warna merah yang menandakan keceriaan.

“Untuk memeriahkan lagi sambutan saya akan mengadakan rumah terbuka dengan menjemput saudara mara dan rakan-rakan pelbagai kaum untuk datang ke rumah.

“Bagi rumah terbuka ini, menu wajib saya tempah dengan katering adalah nasi kerabu, laksam, ketupat daun palas selain kuih bakul dan limau mandarin yang disediakan oleh keluarga saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Banglo Anok, Tendong di sini.

Jeffry yang juga anak sulung daripada 10 beradik berkata, masyarakat berbilang bangsa di kampung itu yang kenal rapat dengannya akan datang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, mereka sudah tahu kerana setiap tahun beliau akan mengadakan rumah terbuka sekali gus dapat mengeratkan hubungan antara kaum.

“Kampung ini terkenal dengan keakraban masyarakat pelbagai kaum kerana kami akan berjumpa di kedai kopi untuk menikmati sarapan pagi atau minum petang. Begitu juga dengan kenduri, kami akan saling bantu membantu,” katanya.

Menurutnya, lebih gembira apabila sambutan Tahun Baharu Cina itu dapat dirai bersama tiga anaknya, Terenna, 5, Terencez, 8, dan Teressa, 11.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top