JUNEAU – Gelombang tsunami kedua tertinggi di dunia pernah melanda Alaska pada 10 Ogos tahun lalu, namun kejadian itu hampir tidak disedari sesiapa pun.
Ia berpunca daripada insiden tanah runtuh dari glasier yang menjatuhkan lebih 100 juta tan batu ke dalam fiord Tracy Arm (teluk yang kecil bertebing tinggi) di selatan Juneau sebelum mencetuskan ombak tsunami setinggi kira-kira 481 meter (m) yang membadai laluan air sempit tersebut pada jam 5 pagi (waktu tempatan).
Kawasan itu merupakan destinasi pelancongan popular, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan peristiwa itu berlaku pada awal pagi dan tiada kapal persiaran berada berhampiran.
Kajian terbaharu diterbitkan menerusi jurnal Science pada minggu lalu mendapati gelombang tsunami itu melebihi bumbung bangunan One World Trade Center di New York yang berketinggian 417m.
“Tsunami tersebut membentuk gelombang pegun atau seiche yang berayun ke depan dan ke belakang dalam fiord sempit itu selama lebih 24 jam.
Difahamkan, ia merupakan kali kedua fenomena seiche seperti itu pernah direkodkan.
Fiord itu merupakan laluan keluar bagi Glasier South Sawyer Glacier yang sedang mengalami pencairan pada kadar pantas.
Satu-satunya gelombang tsunami paling tinggi pernah direkodkan adalah ketika kejadian gempa pada di Teluk Lituya, Alaska yang mencapai ketinggian 524m pada 1958.

Penyelidik mendakwa gelombang tsunami itu mencapai ketinggian kira-kira 481m.
Sistem amaran awal
Oleh kerana tiada sesiapa menyaksikan insiden itu, kumpulan pakar perlu melakukan kajian lebih terperinci untuk mengetahui apa yang berlaku.
Penyelidik kanan kejuruteraan di University of Oxford, Thomas Monahan bersama penyelidik lain menggunakan imej satelit dan data seismik untuk membina model komputer tsunami tersebut.
Mereka menemui getaran berpanjangan yang menunjukkan gelombang itu berulang-alik sebagai seiche.
Fenomena itu pernah diperhatikan di Greenland pada 2023, tetapi isyarat di Alaska lebih kompleks.
“Kajian kami menunjukkan bahawa fiord tertutup boleh bertindak seperti garpu tala gergasi, bergantung pada bentuk dan struktur geografinya. Oleh itu, setiap fiord menghasilkan kesan yang berbeza apabila dilanda tsunami mega,” kata Monahan.
Data daripada satelit Topografi Air Permukaan dan Lautan (SWOT) yang dikendalikan oleh NASA dan agensi angkasa Perancis juga menunjukkan bahawa gelombang itu lebih kuat daripada jangkaan model komputer.
Pelayaran kapal persiaran ke fiord tersebut telah dibatalkan pada tahun ini kerana risiko kemungkinan berlaku lagi tanah runtuh.

Kesan runtuhan yang menjatuhkan lebih 100 juta tan batu ke dalam fiord Tracy Arm.
Salah seorang penulis kajian itu, Stephen Hicks dari University College London berkata, laporan penyelidikan tersebut mungkin membantu membangunkan sistem amaran awal.
“Sebenarnya terdapat beberapa tanda amaran. Gempa kecil berlaku semakin kerap dalam beberapa hari hingga beberapa jam sebelum tanah runtuh, menandakan jisim batu itu mula retak.
“Banyak stesen pemantauan seismik menyediakan data secara masa nyata. Jadi, kami yakin hasil kajian ini boleh digunakan untuk membina sistem amaran pada masa akan datang,” ujarnya.
Amaran tsunami tradisional dianggap kurang efektif kerana ombak tinggi itu tercetus hanya beberapa saat selepas tanah runtuh berlaku.
Namun, saintis berpendapat pemantauan glasier yang lebih menyeluruh boleh membantu mengenal pasti kawasan berisiko tinggi sebelum runtuhan berlaku.
Kejadian serupa pernah meragut nyawa di Norway dan Greenland. Dengan perubahan iklim yang semakin mempercepat pencairan glasier, negara-negara Artik kini berdepan ancaman tsunami disebabkan tanah runtuh yang berpotensi mencetuskan bencana besar. – Agensi



