Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu dipilih, selain merakamkan penghargaan kepada ADUN penggal lalu atas khidmat mereka kepada negeri.
Utamakan negeri dan rakyat diwakili
Memetik laporan daripada Bernama, baginda bertitah setiap ADUN memikul amanah besar untuk membawa suara dan keperluan rakyat, justeru segala dasar serta perancangan yang dirangka perlu sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan.
“Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi,” titah baginda.
Elak salah guna kuasa
Dalam masa sama, Tuanku Muhriz mengingatkan semua pemimpin supaya mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh mencetuskan ketidakstabilan serta menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
Baginda turut menegaskan Menteri Besar dan semua ADUN perlu sentiasa menghormati serta taat kepada institusi Diraja, memelihara keluhuran pentadbiran dan menjunjung kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan.

Pada istiadat sama, Tuanku Muhriz turut menzahirkan keyakinan bahawa Menteri Besar baharu akan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh kejujuran, kesungguhan dan rasa tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat serta negeri.
Sumber: Bernama





