F1 Malaysia jana peluang perniagaan baharu untuk PKS runcit, F&B

F1 Malaysia jana peluang perniagaan baharu untuk PKS runcit, F&B

Kuala Lumpur: Perbelanjaan pengguna dalam sektor runcit serta makanan dan minuman (F&B), khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dijangka meningkat susulan pertambahan jumlah pengunjung dan permintaan lebih kukuh berikutan penganjuran Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Malaysia.

Presiden Persatuan Peruncit Malaysia, Datuk Andrew Lim Tatt Keong berkata, selain memberikan rangsangan segera kepada jualan, penganjuran acara berkenaan turut menggalakkan PKS memperkukuh keupayaan dalam bidang seperti pemasaran digital, pembabitan pelanggan dan kecemerlangan perkhidmatan.

“PKS adalah komponen penting dalam ekosistem runcit Malaysia, manakala acara antarabangsa berskala besar boleh menjadi platform bernilai untuk menyokong pertumbuhan serta meningkatkan keterlihatan mereka.

“Pengusaha F&B tempatan, peruncit dan penyedia perkhidmatan boleh memanfaatkan peningkatan aliran pengunjung dengan menawarkan pengalaman unik Malaysia, promosi bertemakan perlumbaan, produk eksklusif serta perkhidmatan yang disesuaikan,” katanya kepada Bernama.

Lim berkata, perniagaan di dalam dan sekitar lokasi acara turut berpotensi menikmati peningkatan permintaan sepanjang tempoh perlumbaan berlangsung.

Beliau berkata, penganjuran acara antarabangsa seperti Formula 1 memberi peluang kepada PKS Malaysia memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada khalayak global.

Katanya, pengunjung antarabangsa lazimnya mencari pengalaman tempatan yang autentik, sama ada menerusi sajian makanan Malaysia, produk keluaran tempatan, tawaran runcit unik mahupun tarikan kebudayaan.

“Pengalaman positif bersama jenama Malaysia mampu meninggalkan kesan mendalam serta menggalakkan kunjungan berulang, pembelian dalam talian dan promosi dari mulut ke mulut,” katanya.

Bagaimanapun, Lim berkata, tahap manfaat ekonomi kepada sektor runcit dan F&B bergantung kepada jumlah pengunjung, skala aktiviti berkaitan acara serta tahap penyertaan keseluruhan.

Namun begitu, beliau berkata, acara sukan antarabangsa berskala sedemikian secara konsisten menunjukkan kesan gandaan yang kukuh terhadap ekonomi secara lebih meluas.

Peningkatan ketibaan pengunjung dan penyertaan tempatan dijangka meningkatkan jumlah kunjungan serta perbelanjaan di restoran, kafe, premis makanan, pusat beli-belah dan lokasi hiburan, bukan sahaja di sekitar Sepang tetapi turut meliputi pusat bandar Kuala Lumpur, Lembah Klang serta destinasi pelancongan lain.

Pada 26 Julai, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah perlumbaan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan berkaitan termasuk daripada Majlis Sukan Motor Dunia.

Perlumbaan itu dijadualkan berlangsung antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar Formula 1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top