Pertama kali sejak merdeka, PAS sertai pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan

Pertama kali sejak merdeka, PAS sertai pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Seremban: Dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, PAS sentiasa berada di blok pembangkang sejak merdeka kerana kerusi yang dimenangi parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) sangat sedikit.

Bagaimanapun Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan detik bersejarah apabila parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu dengan gabungan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat serta pengundi Negeri Sembilan yang memberikan sokongan serta kepercayaan tanpa belah bahagi kepada PAS dan PN dalam PRN Negeri Sembilan Ke-16.

“Keputusan rakyat memberikan kemenangan kepada PAS di DUN Serting, Paroi, Bagan Pinang dan Ampangan adalah satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab, berintegriti dan istiqamah.

“PAS Negeri Sembilan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera parti termasuk sokongan utama daripada negeri-negeri yang membantu, petugas pilihan raya, sukarelawan, penyokong serta semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang kempen sehingga ke hari pengundian,” katanya.

Beliau berkata, pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan menjadi tunjang kekuatan utama kepada perjuangan.

Justeru katanya, PAS Negeri Sembilan beriltizam akan memainkan peranan yang berkesan sebagai pentadbir Kerajaan Negeri Sembilan bersama BN, sebagai wakil rakyat yang berwibawa, membela kebajikan rakyat, mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negeri serta membawa suara rakyat dengan penuh amanah di DUN.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan petunjuk kepada PAS Negeri Sembilan dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top