Tuchel tegaskan tidak perlu panik

Tuchel tegaskan tidak perlu panik

LONDON: Thomas Tuchel berkata semalam bahawa tidak perlu rasa panik mengenai masa depan Chelsea selepas pengumuman dramatik Roman Abramovich bahawa dia akan menjual kelab Liga Perdana itu berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Jutawan Russia, Abramovich, yang didakwa mempunyai kaitan rapat dengan Presiden Vladimir Putin, berkata ia “adalah yang terbaik” dia memutuskan hubungan dengan juara bertahan Liga Juara-Juara itu selepas 19 tahun memiliki kelab berkenaan.

Abramovich tidak dinamakan sebagai sasaran akan digantung kerajaan British membabitkan bank Russia, ahli perniagaan dan hartawan selepas Putin menyerang Ukraine minggu lalu.

Namun pemilik berusia 55 tahun itu bimbang mengenai kemungkinan aset kelab akan dirampas pihak berkuasa UK yang mencetuskan tindakan untuk menjual kelab dari London, Chelsea.

Blues dilaporkan menerima beberapa tawaran dengan jutawan Switzerland, Hansjoerg Wyss dan ahli perniagaan Amerika Syarikat, Todd Boehly menubuhkan konsortium manakala jutawan Turki, Muhsin Bayrak menjadi individu terbaharu menyertai tawaran berkenaan.

Tuchel, yang mengetuai Chelsea meraih gelaran Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab sejak tiba pada Januari 2021, berkata kekal di Stamford Bridge “amat sempurna” buatnya walaupun situasi tidak menentu.

Pengendali dari Jerman itu yang bercakap menjelang pertemuan dengan kelab Liga Perdana yang sedang bergelut, Burnley, dia tidak berhubung secara terus dengan Abramovich sejak pengumuman itu, namun terkejut.

“Pemilik mahu menjual kelab dan dia menjual kelab yang memiliki struktur terbaik, organisasi terbaik dan kini saya tidak melihat kenapa kami perlu bimbang dengan apa yang terjadi kerana ia sudah terbaik, diuruskan dengan bagus dan sangat berfungsi,” kata bekas pengendali Paris Saint-Germain itu.

“Satu penghormatan bekerja di sini dan saya sudah ada di sini sejak setahun lalu, dan saya boleh katakan ia berada di tahap tertinggi yang pernah saya rasakan. Kami akan memiliki pemilik baharu tetapi adakah itu bermakna organisasi ini dipersoalkan mengenai strukturnya? Saya tidak rasa begitu.” – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top