Permintaan makan burger jadi kenangan, enggan pulang rumah sendiri jadi petanda

Permintaan makan burger jadi kenangan, enggan pulang rumah sendiri jadi petanda

am@hmetro.com.my

Serian: Keluarga tidak menyangka bahawa permintaan Ajibah Ajmat untuk menikmati burger dan enggan pulang ke rumah sendiri pada malam sebelum tragedi kemalangan menjadi kenangan terakhir mereka.

Ajibah adalah salah seorang daripada lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Ensengei-Baki Lama, awal pagi tadi.

Adiknya Asdanyanty Ajmat berkata Ajibah yang bekerja dan tinggal di Bintulu pulang bercuti ke kampung halaman.

“Pada malam terakhir itu dia ajak kami makan burger. Ketika itu kami anggap perkara biasa saja kerana memang selalu keluar makan bersama keluarga.

“Tetapi selepas kejadian ini, baru kami sedar itu sebenarnya menjadi kenangan terakhir kami bersamanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Serian.

Asdanyanty berkata kakaknya itu juga memilih untuk tinggal bersama keluarga sepanjang berada di kampung dan tidak pulang ke rumah sendiri yang terletak di kampung yang sama.

“Dia seolah-olah tidak berminat untuk berada di rumahnya sendiri dan memilih untuk menghabiskan masa bersama kami.

“Dia tidur di rumah kami sepanjang berada di kampung. Sebelum ini memang tidak pernah berlaku begitu,” katanya ketika ditemui di Hospital Serian.

Menurut Asdanyanty, mereka sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa kerana mangsa kelihatan ceria dan menjalani rutin seperti biasa sepanjang cutinya.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi, lima sekeluarga maut selepas kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar paip air di Jalan Ensengei-Baki Lama, Serian.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohammad Bostari Aidit, 30, Ajibah Ahmat, 47, Nur Farah Shahira Narudin, 26, Nur Ain Nasrin Narudin, 16, dan Nur Assyfa Luthfya Narudin, 2.

Jenazah Ajibah Ajmat, Nur Farah Shahira Narudin, Nur Ain Nasrin Narudin serta Nur Assyfa Luthfya Narudin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Jalan Ensengei, Serian.

Sementara itu, jenazah Mohammad Bostari Aidit akan dibawa pulang ke Sibu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kemuyang.

Berita berkaitan:

Gagal memotong traktor punca kemalangan ragut nyawa lima sekeluarga

Identiti lima sekeluarga termasuk bayi maut nahas dikenal pasti

Lima maut termasuk bayi perempuan, kenderaan rempuh paip air

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top