najiy.jefri@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon Yana Samsudin menyifatkan tuduhan mengaitkan nama suaminya, Fadzil Zahari sebagai selebriti yang ditahan pihak berkuasa kerana disyaki memiliki dadah sebagai ujian ketika menunaikan ibadah umrah.
Yana ketika ditemui Harian Metro berkata, pada mulanya dia terkejut dengan tuduhan terbabit sehingga tertanya-tanya kenapa nama suaminya dipetik dalam kes sedemikian.
“Saya anggap (tuduhan) ini sebagai satu dugaan untuk kami sekeluarga yang sedang menunaikan ibadah umrah pada Disember lalu.
“Bagi saya, apabila kita sedang melakukan satu kebaikan, Allah beri satu dugaan dan ingin melihat bagaimana kami tangani ujian itu.
“Nak dijadikan cerita memang waktu itu kebetulan mata suami saya memang merah sebab alergik dengan cuaca sejuk pada waktu itu,” kata Yana ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sahak Gangster di sini, malam tadi.
Menceritakan semula detik itu, Yana berkata, telefon bimbitnya tidak berhenti berbunyi namun mereka tetap fokus dengan ibadah.
“Sebenarnya saya sekeluarga dijemput oleh kedutaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah beberapa tempat menarik.
“Ketika kami tiba di Makkah pada jam 3 pagi dan sedang mengerjakan umrah, telefon bimbit kami tak berhenti berbunyi.
“Apabila sampai saja di hotel, suami baru sempat baca mesej dan maklumkan sudah ramai pihak membuat spekulasi mengenai dirinya berhubung penangkapan itu.
“Saya pun terus cakap kepada dia, abaikan saja perkara itu dan tinggalkan (segala hal) di Malaysia. Itu saja ayat yang keluar daripada mulut saya.
“Cuma saya terkejut individu yang kena (tahan) itu. Harap beri pengajaran kepada semua orang dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Untuk rekod, selebriti lelaki yang ditahan pihak berkuasa kerana memiliki dadah jenis ganja ialah pelakon dan pelawak Along Cham.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sepang, dia didakwa memiliki bahan disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun Along mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan hakim menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




