Tujuh individu dirakam keterangan kes buli pelajar tingkatan tiga

Tujuh individu dirakam keterangan kes buli pelajar tingkatan tiga

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Tujuh individu sudah dirakam keterangan berhubung kes buli membabitkan pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Taman Melawati, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tujuh individu itu terdiri daripada tiga suspek dan empat saksi.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pelajar berusia 15 tahun dibelasah kerana perselisihan faham dengan pelajar tingkatan lima dalam kejadian di Bukit Mar Mar, Kemensah, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa ditumbuk di dada, dicekik dan ditendang oleh seorang pelajar tingkatan lima.

Selepas kejadian itu, mangsa sekali lagi diajak oleh lima suspek ke Bukit Mar Mar pada jam 3 petang sebelum dipukul dengan disaksikan antara 10 hingga 15 pelajar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di dahi, luka kening kiri, rahang selain bengkak pada tengkuk.

© New Straits Times Press (M) Bhd