Tular di media antarabangsa kenakan tambang sehingga RM836 ke ibu negara, 'ulat' wanita ditahan di KLIA

Tular di media antarabangsa kenakan tambang sehingga RM836 ke ibu negara, 'ulat' wanita ditahan di KLIA

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Walaupun tular di media antarabangsa, seorang wanita yang menjadi ‘ulat’ teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, tetap meneruskan kegiatan itu dengan mencari mangsa di pintu masuk utama negara itu.

Kegiatan wanita berusia 30-an itu dipercayai sudah menjadi buah mulut di media luar negara apabila dia dikatakan cuba mengenakan tambang 900 peratus kali lebih tinggi daripada jumlah yang dipersetujui.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebelum ini wanita terbabit dikatakan tambang RM836 daripada pelancong China walaupun pada mulanya bersetuju dengan harga RM83 sahaja bagi perjalanan dari KLIA ke ibu negara.

“Suspek ditahan susulan penyamaran anggota JPJ menerusi Ops Ulat pada 1 pagi hari ini.

“Dia didapati menggunakan kereta Perodua Axia yang dipercayai disewa daripada orang lain.

“Berdasarkan rekod, ini kali pertama suspek ditahan, kita percaya dia ‘ulat’ tegar, walaupun sudah tular dia masih berdegil dan meneruskan kegiatan itu.

“Semasa ditahan suspek mendakwa melakukan kegiatan itu untuk mencari pendapatan tambahan,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Bangi, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika ditahan suspek cuba membawa pelancong dari Filipina sebelum ditahan anggota yang melakukan penyamaran.

Beliau berkata, suspek tidak menyatakan pekerjaan tetapnya tetapi hasil siasatan awal pihaknya percaya suspek bergerak secara untuk berkumpulan melakukan kegiatan itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung pergerakan suspek dan setakat semalam hanya wanita terbabit yang ditahan.

“Modus operandinya adalah menanti pelanggan dari dalam (KLIA).

“Tidak dapat dipastikan destinasi pelancong berkenaan tetapi kita percaya ke Kuala Lumpur dan suspek mengenakan harga yang tinggi,” katanya.

Azrin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek mampu meraih pendapatan lumayan daripada kegiatan itu namun tidak mendedahkan jumlahnya.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan kenderaan digunakan disita bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top