Tular pejalan kaki hampir dirempuh: Lelaki mengaku tak bersalah

Tular pejalan kaki hampir dirempuh: Lelaki mengaku tak bersalah

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu e-hailing dipercayai hampir merempuh pejalan kaki dalam video tular didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta secara berbahaya, kelmarin.

Bagaimanapun, tertuduh, Chew Tiong Han, 46, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu memandu secara berbahaya kepada orang awam mengambil kira segala hal keadaan di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, 6.30 petang, 23 September lalu.

Oleh itu, Chew didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dipenjara maksimum lima tahun dan didenda tidak lebih RM15,000 serta butir-butir sabitan akan diendorskan pada lesen memandu yang dipegang dan hilang kelayakan memandu tidak kurang lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib memohon jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Gurusharonjit Kaur yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan dengan mengambil kira dia menanggung nafkah anaknya walaupun sudah bercerai dan bapa yang mempunyai sakit jantung.

Mendengar perkara itu, Khairunnisak menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan 18 November ini sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan pemandu e-hailing yang tular ditahan polis pada jam 8.15 pagi.

Sebelum ini, video kejadian dipercayai berlaku pada Selasa tular menerusi rakaman berdurasi 32 saat.

Kereta terbabit yang berada di lorong kanan dilihat hampir melanggar seorang pejalan kaki wanita hingga menyebabkan barang dibawanya terjatuh.

Bagaimanapun, wanita berkenaan difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top