Tular tunggang motosikal elektrik ubah suai, pempengaruh dipanggil polis

Tular tunggang motosikal elektrik ubah suai, pempengaruh dipanggil polis

am@hmetro.com.my

Melaka: Pempengaruh, Isa Isarb, yang menunggang motosikal elektrik ubah suai dan membawa dua pembonceng di persimpangan lampu isyarat Lee Rubber, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin di sini, dipanggil polis untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tindakan itu diambil selepas polis mengesan video tular berdurasi 22 saat yang dimuat naik Isa, 27, di akaun TikTok @Isa Isarb, kira-kira 11.50 pagi tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kenderaan mikromobiliti ditunggangi pempengaruh berkenaan sudah diubah suai dan dipasang bumbung.

Katanya, polis membuat pemeriksaan ke atas motosikal bernombor plat MDJ1154 yang didaftarkan atas nama Isa, yang turut dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti berkenaan.

“Polis menghubungi Isa dan dimaklumkan beliau berada di Sabah atas urusan perniagaan sehingga 16 Mei ini.

“Penama (Isa) diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk diambil keterangan, bagaimanapun beliau mengesahkan akan hadir bersama peguam pada 17 Mei ini,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Beliau menegaskan motosikal digunakan pempengaruh itu termasuk dalam kategori kenderaan mikromobiliti yang penggunaannya di atas jalan raya awam adalah dilarang mengikut Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top