Tular video orang ramai berebut air promosi, pengurus pasar raya dikompaun

Selepas tular video pengunjung berebut minuman harga promosi, polis mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pengurus sebuah pasar raya di Sitiawan, Perak akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berebut minuman berkarbonat itu berlaku pada pagi Jumaat lalu.

“Polis bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Manjung memanggil pihak pengurusan pasar raya berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu pada 2 petang hari ini (semalam).
“Susulan itu, satu kompaun dikeluarkan terhadap pengurus pasar raya terbabit atas perlanggaran SOP iaitu gagal memastikan penjarakan fizikal pengunjung di dalam premis mengikut Akta 342,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Terdahulu, sekumpulan pengunjung terbabit bertindak seolah-olah ‘hilang akal’ bagi mendapatkan sejumlah karton air sebelum dimasukkan ke dalam troli.

Sumber: Harian Metro (Noor Hidayah Tanzizi) , Facebook Abu Amjad