mhafis@mediaprima.com.my
Sungai Buloh: Polis mengesahkan kejadian seorang wanita menceroboh sebuah rumah di Kampung Melayu Subang yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu tular selepas dimuat seorang pemilik akaun Threads, kira-kira 9 pagi semalam.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kampung Baru Subang pada 10.41 malam kelmarin.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati suspek gagal memberikan keterangan jelas dan dipercayai tidak waras,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian dirujuk ke hospital bagi pengesahan status kesihatan mental dan kini masih dirawat di wad psikiatri sebuah hospital di Selangor.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati keluarga suspek.
“Masyarakat juga diingatkan supaya memastikan rumah dikunci dengan selamat serta membawa anak kunci bersama ketika keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, tular satu video seorang wanita menceroboh sebuah rumah dan duduk di sofa sambil menghisap rokok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




