GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berharap agar kerja-kerja pembinaan Dewan Istiadat di kawasan Seri Mutiara dapat dipercepat bagi membolehkan istiadat rasmi dilangsungkan dengan penuh tertib, adat dan kebesaran seperti selayaknya.
Menurut beliau, adalah menjadi kelaziman dalam amalan Raja-Raja Melayu serta Negeri-Negeri Yang Dipertua Negeri untuk melaksanakan istiadat penganugerahan itu di Dewan Istiadat yang berada dalam lingkungan istana atau kediaman rasmi Ketua Negeri kerana ia melambangkan kedaulatan, kesinambungan tradisi serta kemuliaan institusi berkenaan.
“Maka, wajar bagi Pulau Pinang untuk turut memiliki sebuah Dewan Istiadat yang menjadi mercu tanda kebesaran negeri serta wadah memelihara adat dan warisan yang diwariskan turun-temurun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ke-85 di Dewan Sri Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli memberitahu, permohonan untuk membina dewan berkenaan telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan sebelum ini dan beliau berharap agar ia diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bukan sekadar suatu penghormatan, sebaliknya, merupakan amanah yang perlu terus dipelihara.
“Justeru, saya berharap agar pengiktirafan yang diterima ini akan menjadi obor semangat kepada para penerima untuk terus berbakti dengan penuh keikhlasan, sekali gus menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Seramai 1,221 individu menerima pengiktirafan negeri membabitkan 101 penerima Darjah Kebesaran serta 1,120 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan pada majlis yang berlangsung selama empat hari itu bermula hari ini.
Pada majlis itu, Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mendahului senarai penerima tersebut apabila dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.-UTUSAN




