Tunjuk perasaan antijerebu di beberapa bandar Indonesia kecam Prabowo

Tunjuk perasaan antijerebu di beberapa bandar Indonesia kecam Prabowo

JAKARTA: Rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di beberapa bandar pada Selasa bagi membantah kebakaran hutan dan jerebu beracun sehingga menyebabkan ribuan orang jatuh sakit selama berminggu-minggu dalam krisis yang melanda Asia Tenggara.

Demonstrasi itu dianjurkan pelajar bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, yang genap dua tahun memerintah pada Selasa.

Mereka mengecam apa yang disifatkan sebagai ketidakcekapan dan amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan ketika mengadakan demonstrasi di ibu negara Jakarta, selain Bandung dan Yogyakarta di Pulau Jawa, Pekanbaru di Sumatera serta Makassar di Sulawesi Selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ramai penunjuk perasaan secara khusus membangkitkan kegagalan pihak berkuasa memadamkan kebakaran yang memusnahkan kawasan luas di pulau Borneo dan Sumatera sejak Julai.

“Jika kami terbakar, kamu juga akan terbakar bersama kami!” menurut sepanduk yang dibawa seorang penunjuk perasaan di Jakarta.

“Saya berhak untuk bernafas. Padamkan kebakaran dengan segera,” menurut sepanduk lain.

Penduduk di Palangkaraya, Borneo, meluahkan rasa putus asa mereka kepada AFP.

“Jerebu ini sangat teruk. Jualan merosot. Harga terus meningkat, tetapi tiada pendapatan,” kata Melsi, 40, seorang penjaja minuman di tepi jalan.

Beliau menangis ketika bercakap kepada AFP.

“Apa yang boleh kami lakukan? Kami rakyat kecil, kami tidak mampu berbuat apa-apa selain berharap kerajaan akan menangani masalah ini,” katanya.

Suri rumah, Sifra, 29, berkata, suami dan dua anaknya mengalami batuk sejak sebulan lalu.

“Walaupun berada di dalam rumah, asap tetap masuk. Sejujurnya, sejak jerebu melanda, seluruh badan saya terasa sakit seperti dipukul. Daya tahan badan merosot. Saya mudah batuk dan selesema,” ujarnya.

Sifra, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama, menggesa kerajaan meningkatkan usaha menangani krisis itu, selaras dengan tuntutan puluhan penunjuk perasaan di Palangkaraya pada Isnin supaya darurat diisytiharkan.

Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan memberitahu wartawan di ibu negara bahawa lebih 60,000 anggota bomba, termasuk sukarelawan, dikerahkan untuk memadamkan kebakaran di seluruh negara.

Sebanyak 49 pesawat disediakan bagi operasi pengeboman air dan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan, walaupun banyak daripadanya terpaksa dihentikan operasinya buat sementara waktu akibat jerebu.

Pemantau kebakaran hutan Nusantara Atlas pada Isnin berkata, kebakaran di Indonesia memusnahkan lebih 1.9 juta hektar tanah dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026. – AFP

Scroll to Top