Tunku Ismail tetap bangga dengan perjalanan JDT di ACL

PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap berbangga dengan perjalanan Harimau Selatan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) biarpun langkah mereka terhenti di pusingan 16 terbaik, sebentar tadi.

Kekalahan 5-0 kepada juara dua kali, Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama itu bermakna hasrat JDT untuk melangkah ke suku akhir tidak kesampaian.

Tunku Ismail bagaimanapun menyifatkan pencapaian Harimau Selatan menempa sejarah sebagai kelab pertama Malaysia layak ke pusingan kalah mati ACL satu penghormatan yang besar.

“Satu penghormatan yang besar beraksi di peringkat tertinggi dan berprestij seperti ini. Di peringkat ini, anda tidak boleh melakukan sebarang kesalahan.

“Apapun, ia satu perjalanan yang hebat dan memberi pengajaran baik buat pemain dan pasukan.

“Terima kasih AFC (Konfederasi Bola sepak Asia),” kata Tunku Ismail dalam Twitter.