KPLB peruntuk RM176 juta bayar elaun JPKK, JPKKP

MELAKA: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan hampir RM176 juta tahun ini bagi bayaran elaun kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lebih RM80 juta selesai disalurkan kepada 12 buah negeri bagi fasa satu untuk tempoh Januari hingga Jun.

Kata beliau, elaun berkenaan adalah insentif Kerajaan Persekutuan sebagai menghargai peranan JPKK dan JPKKP dalam menggerakkan komuniti setempat.

“Kerajaan melihat peranan JPKK amat penting sebagai perantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan sebarang masalah atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir memaklumkan, bagaimanapun peruntukan elaun tersebut masih belum disalurkan kepada Pulau Pinang dan Selangor.

Jelasnya, elaun untuk Pulau Pinang belum dapat disalurkan kerana lantikan JPKK belum selesai, sementara Selangor masih menggunakan peruntukan sedia ada.

“Bagi sesetengah negeri, JPKK turut menerima elaun tambahan daripada kerajaan negeri. Kerajaan Negeri Melaka misalnya memberi RM200 dan RM50 sebulan masing-masing kepada pengerusi dan setiausaha,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai elaun JPKK fasa dua di Melaka, Mahdzir berkata, bayaran tersebut masih dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Katanya, proses berkenaan sedang berjalan dan pembayaran elaun itu akan dapat disegerakan sebelum akhir tahun ini. –UTUSAN ONLINE