TV3 mara ke final Pesta Pantun HAWANA

TV3 mara ke final Pesta Pantun HAWANA

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pengisian Islam TV3 berjaya ke Pertandingan Akhir Pesta Pantun yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Kumpulan berkenaan diketuai pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya bersama Mohammad Nor Affiq Norshamsudin, Azrin Md Isa dan Nurul Shazalina Zainudin berentap dengan wakil Astro Radio News.

Bagaimanapun, keputusan Johan dan Naib Johan Pesta Pantun hanya diumumkan pada Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA, 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seramai 32 peserta dari lapan kumpulan agensi media berentap seawal jam 9 pagi tadi.

Kumpulan Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa MPB diketuai Biro MPB Terengganu, Mohd Ishak Abdillah Ngah, wartawan Berita Harian, Ilah Hafiz Aziz dan Latifah Arifin serta wartawan Harian Metro, Muhamad Lokman Khairi.

Selain itu, pesta pantun tahun ini turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Malaysia Gazzette, Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama.

Antara barisan juri ialah Perancang Bahasa Akademi Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Dr Faezah Muhayat; Perancang Bahasa DBP Wilayah Tengah, Musazliza Mustan Shir; Perancang Bahasa merangkap Pegawai Khas Ketua Pengarah DBP, Azimin Daud serta juru pantun tersohor, Datuk Chuari Selamat.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala naib juara RM2,000 serta kedua-duanya turut menerima piala dan sijil.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM1,000 dan RM500 berserta piala dan sijil, selain hadiah sagu hati berupa hamper dan sijil penghargaan.

Kategori Pemantun Terbaik turut disediakan dengan hadiah wang tunai RM500, sebuah piala dan sijil, manakala DBP akan menyampaikan hadiah khas bagi busana terbaik kategori lelaki dan wanita.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana menampilkan pelbagai acara dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top