New York: Mike Tyson dianggap oleh ramai orang sebagai salah seorang peninju heavyweight paling digeruni dalam sejarah.
Selepas memulakan karier profesionalnya pada tahun 1985, Tyson hanya mengambil masa setahun lebih untuk meraih gelaran dunia pertamanya apabila dia menewaskan juara heavyweight WBC, Trevor Berbick, dalam pusingan kedua.
Kemenangan itu menjadikan Tyson juara heavyweight dunia termuda dalam sejarah tinju.
‘Iron Mike’ kemudian menambah gelaran WBA dan IBF ke dalam koleksinya menerusi kemenangan ke atas James Smith dan Tony Tucker, sekaligus meraih status juara yang tidak dipertikaikan hanya sebulan selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-21.
Kini selepas bersara sepenuhnya daripada dunia tinju selepas pertarungan kontroversi menentang Jake Paul pada November lalu — legenda berusia 58 tahun dari New York itu memberi pengiktirafan kepada seorang juara dunia dua divisyen tanpa rekod kekalahan, David Benavidez.
Benavidez yang kini muncul sebagai antara bintang paling bersinar dalam sukan tinju.
Dalam satu temu bual bersama ESNEWS, Tyson tidak teragak-agak menyatakan sokongannya terhadap juara baru WBC light-heavyweight, Benavidez, yang turut dikenali dengan gelaran ‘The Monster’.
“Saya suka dia lawan sesiapa saja.
“Dia dipandang rendah tetapi pada masa yang sama terlalu dipolarisasikan di sini. Dengar sini, kalau saya berada dalam divisyen itu, saya pun takut nak lawan dia. Tiada siapa pun yang ada peluang lawan dia, dan saya cakap berdasarkan fakta.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




