Tze Yong sertai kem Joo Ven

Tze Yong sertai kem Joo Ven

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengesahkan akan menjalani latihan di bawah bimbingan pemain profesional negara, Soong Joo Ven selepas membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung bulan ini dan memulakan fasa baharu sebagai pemain profesional.

Bagi Tze Yong, buat sementara waktu ini, dirinya memilih untuk berlatih bersama bekas pemain perseorangan negara, Joo Ven bagi menyesuaikan dengan keadaan fizikalnya yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

“Buat masa ini saya sudah ada tempat untuk berlatih. Saya akan berlatih di kem Soong Joo Ven. Intensiti latihan saya sekarang masih sekitar 40 hingga 50 peratus kerana saya masih dalam proses pemulihan,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Selain itu, mengulas kemungkinan menjalani latihan bersama pemain profesional negara, Lee Zii Jia, Tze Yong mengakui tahap kecergasannya ketika ini masih belum cukup untuk berlatih bersama pemain ranking ke-65 dunia itu.

“Saya rasa intensiti latihan saya sekarang masih belum cukup untuk berlatih dengan Zii Jia. Saya akan terus berusaha meningkatkan tahap permainan dan harap suatu hari nanti kami dapat berlatih bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Tze Yong enggan menetapkan tempoh bila dia akan kembali beraksi di kejohanan kerana enggan mengambil risiko terhadap proses pemulihannya.

“Kalau boleh memang saya mahu kembali secepat mungkin, tetapi saya juga perlu mendengar keadaan badan saya. Saya tidak boleh mengabaikan sebarang isyarat daripada badan sendiri. Selagi proses pemulihan menunjukkan perkembangan yang positif, saya akan terus berlatih walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa,” katanya.

Untuk makluman, pemain berusia 26 tahun itu pernah mencapai ranking tertinggi sebelum ini iaitu di tangga ke-14 dunia pada November 2023 dan mencatat beberapa pencapaian membanggakan bersama skuad kebangsaan termasuk meraih pingat perak perseorangan lelaki dan pingat emas acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Dia turut membantu Malaysia memenangi pingat emas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 serta meraih pingat gangsa pada kejohanan Piala Sudirman 2021 dan 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top