
Jawatankuasa Harga Bahan Api UAE mengumumkan kenaikan mendadak harga bahan api untuk April 2026. Foto AFP
DUBAI – Jawatankuasa Harga Bahan Api Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa mengumumkan kenaikan mendadak harga bahan api untuk April 2026, dengan petrol dan diesel meningkat ketara berbanding bulan sebelumnya, lapor Xinhua.
Mulai 1 April, petrol Super 98 akan naik dari 2.59 dirham UAE (kira-kira AS$0.71) kepada 3.39 dirham UAE (AS$0.92) seliter, iaitu peningkatan sebanyak 30.9 peratus.
Petrol Special 95 meningkat daripada 2.48 dirham UAE (AS$0.68) kepada 3.28 dirham UAE (AS$0.89) seliter, naik 32.3 peratus, manakala E-Plus 91 meningkat daripada 2.40 dirham UAE (AS$0.65) kepada 3.20 dirham UAE (AS$0.87) seliter, iaitu 33.3 peratus.
Diesel pula mencatat kenaikan lebih tinggi, daripada 2.72 dirham UAE (AS$0.74) kepada 4.69 dirham UAE (AS$1.28) seliter, meningkat 72.4 peratus.
Kenaikan ini menyusuli kenaikan sederhana pada bulan Mac, menandakan peningkatan harga bahan api yang lebih pantas.
Penganalisis berkata, kenaikan ini terutamanya didorong oleh harga minyak dunia yang lebih tinggi, dengan Brent Crude purata melebihi AS$92 setong dalam tiga minggu pertama Mac, berbanding kira-kira AS$69 pada bulan sebelumnya.
Sejak 2015, UAE telah menyahkawal selia harga bahan api, menyelaraskan kadar domestik dengan pasaran antarabangsa. – Bernama-Xinhua
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Harga Bahan Api UAE umum kenaikan harga bahan api untuk April 2026.
- Petrol Super 98 naik 30.9%, Petrol Special 95 naik 32.3%, E-Plus 91 naik 33.3%.
- Diesel meningkat 72.4% berbanding bulan sebelumnya.
- Kenaikan harga disebabkan harga minyak dunia yang lebih tinggi.
- Sejak 2015, UAE menyelaraskan harga bahan api dengan pasaran antarabangsa.



