UEC: Geraham kesal kerajaan dilihat ambil langkah ke belakang

UEC: Geraham kesal kerajaan dilihat ambil langkah ke belakang

ALOR SETAR – Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hancur Aktiviti Maksiat (Geraham) kesal terhadap tindakan kerajaan yang dilihat semakin membuka ruang kepada penerimaan pelajar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.

Pengerusi Secretariat Geraham, Noor Hakimi Ab Halim berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengambil keputusan yang dilihat mengundur ke belakang sebaliknya memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan, memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dan memastikan semua dasar pendidikan bergerak selari dengan semangat Perlembagaan serta kepentingan nasional negara.

Menurutnya, ia bukan sekadar isu kemasukan mahasiswa ke institusi pengajian tinggi tetapi melibatkan masa depan identiti nasional, prinsip pendidikan kebangsaan serta arah pembinaan negara bangsa Malaysia.

“Tindakan kerajaan ini memperlihatkan seolah-olah kepimpinan negara hari ini semakin tidak tegas mempertahankan asas yang telah dibina sejak sekian lama melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Lebih membimbangkan apabila keputusan seperti ini dilihat sebagai langkah ke belakang dalam usaha memperkukuhkan perpaduan nasional melalui satu sistem pendidikan yang berteraskan identiti negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Noor Hakimi berkata, Geraham berpandangan bahawa pemimpin seharusnya memahami dan menjiwai semangat pembinaan negara bangsa yang diasaskan atas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan serta sistem pendidikan nasional sebagai alat penyatuan rakyat pelbagai kaum.

“Namun hari ini, prinsip tersebut semakin dilonggarkan sedikit demi sedikit demi memenuhi tekanan dan kepentingan politik tertentu,” dakwanya.

Jelasnya, apa yang lebih membimbangkan ialah berlakunya normalisasi terhadap tindakan luar kebiasaan yang bercanggah dengan semangat asal pembinaan negara.

Katanya, perkara yang dahulu dianggap sensitif terhadap identiti nasional kini mula dibiasakan secara perlahan-lahan sehingga rakyat semakin dipaksa menerima kompromi yang berterusan.

“Jika keadaan ini terus dibiarkan, rakyat perlu bersedia melihat lebih banyak lagi perkara asas negara yang mungkin akan tergadai pada masa hadapan.

“Hari ini isu UEC diperluaskan. Esok mungkin muncul tuntutan lain yang lebih besar sehingga akhirnya asas perpaduan nasional menjadi semakin rapuh,” dakwanya.

Noor Hakimi berkata, dalam masa sama, masyarakat awam tidak boleh terus berdiam diri sebaliknya perlu memahami kepentingan mempertahankan identiti nasional selain berani menyuarakan pandangan secara matang serta bertanggungjawab.

“Penerangan kepada rakyat, wacana ilmiah serta pendirian yang jelas perlu diperkasakan supaya asas negara tidak terus dikompromi sedikit demi sedikit.

“Parti-parti politik pula perlu kembali kepada prinsip dan keberanian mempertahankan dasar kebangsaan. Jangan kerana kepentingan kuasa dan survival politik, maka asas pembinaan negara bangsa sanggup diketepikan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh dibina atas kompromi tanpa batas sehingga akhirnya negara kehilangan arah, identiti dan jatidiri sendiri.

“Sudah tiba masanya semua pihak bangkit mempertahankan asas pendidikan kebangsaan sebelum lebih banyak perkara tergadai pada masa hadapan,” jelasnya.

Scroll to Top