SHAH ALAM – Negara tidak boleh mengorbankan falsafah pendidikan kebangsaan atas nama keterbukaan tanpa menilai kesan jangka panjang terhadap identiti, perpaduan dan arah tuju pendidikan negara.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kebimbangan itu timbul susulan perkembangan semasa mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
“Dasar Pendidikan Kebangsaan dibina atas tujuan yang jelas iaitu membentuk perpaduan nasional, memartabatkan Bahasa Melayu dan memastikan semua sistem pendidikan bergerak dalam satu kerangka negara bangsa yang sama.
“Apabila seorang tokoh pendidikan sendiri mula menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan semasa dasar kemasukan ke IPTA, ia memberi isyarat bahawa berlaku perubahan besar yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad mengusulkan 15 Mei sebagai tarikh rasmi terkuburnya Dasar Pendidikan Kebangsaan susulan kerajaan membenarkan calon lepasan UEC ke IPTA.
Pensyarah kanan dan penyelidik bidang Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan, UKM itu secara sinis berkata, sekurang-kurangnya tarikh ‘matinya’ akan diingati oleh generasi akan datang.
Media pada Khamis melaporkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, kenyataan yang dibuat pakar pendidikan mengenai UEC wajar diberikan perhatian serius kerana ia menyentuh asas yang paling penting dalam sistem pendidikan negara iaitu kedudukan dan hala tuju Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Menurutnya, apabila laluan ke IPTA mula diperluaskan kepada sistem pendidikan yang tidak berasaskan kurikulum kebangsaan secara menyeluruh, maka timbul persoalan sama ada asas dasar berkenaan masih dipertahankan atau sedang dilonggarkan secara beransur-ansur.
“Lebih membimbangkan apabila dalam wacana ini, institusi tahfiz seolah-olah dijadikan perbandingan.
“Sedangkan hakikatnya institusi tahfiz di Malaysia telah lama menyesuaikan diri dengan sistem nasional melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelbagai program integrasi akademik.
“Justeru, negara tidak boleh mengorbankan falsafah pendidikan kebangsaan atas nama keterbukaan tanpa menilai kesan jangka panjang,” katanya.



