Munich: Penyerang Bayern Munich, Luis Diaz dikenakan penggantungan tiga perlawanan selepas melakukan kekasaran serius yang membawa kepada layangan kad merah dalam kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) pada saingan Liga Juara-Juara awal bulan ini.
Menurut Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), tindakan tegas itu diambil selepas Diaz, yang menjaringkan kedua-dua gol Bayern di Paris, dibuang padang susulan terjahan keras terhadap Achraf Hakimi pada penghujung babak pertama perlawanan berkenaan.
Insiden itu menyaksikan Hakimi mengalami kecederaan buku lali kiri yang serius, sekali gus tidak beraksi bersama PSG sejak insiden berkenaan.
Pemain antarabangsa Maghribi itu terpaksa menggunakan skuter ketika naik ke pentas bagi menerima Anugerah Pemain Terbaik Afrika, Rabu lalu.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany sebelum ini menjangkakan Diaz hanya akan terlepas aksi menentang Arsenal, awal pagi Khamis ini.
Namun penggantungan sebenar lebih panjang apabila pemain Colombia itu turut tidak akan diturunkan bagi aksi menentang Sporting pada 9 Disember dan Union St Gilloise pada 21 Januari.
“Maklumat yang saya dapat adalah dia hanya digantung satu perlawanan. Saya akan kecewa jika maklumat itu tidak tepat,” kata Kompany sebelum keputusan rasmi UEFA diumumkan.
Bayern kini mendahului kumpulan dengan 12 mata selepas empat perlawanan, satu daripada tiga pasukan yang mengekalkan rekod sempurna bersama Arsenal dan Inter Milan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




