UiTM meterai MoU dengan Auckland University of Technology New Zealand

UiTM meterai MoU dengan Auckland University of Technology New Zealand

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengumumkan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Auckland University of Technology (AUT), New Zealand bagi memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan.

MoU ini berfungsi sebagai komitmen bersama kedua-dua universiti untuk bekerjasama dalam mencapai matlamat pengantarabangsaan pendidikan.

Kerjasama ini merangkumi beberapa bidang utama, termasuk pertukaran kakitangan dan pelajar, pembangunan dalam pengajaran dan pembelajaran, penganjuran simposium, persidangan, kursus jangka pendek, serta penyelidikan dalam bidang komunikasi, perhubungan awam, pengiklanan, dan pengajian media.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, pihaknya berharap MoU ini akan menjadi landasan kukuh untuk universiti itu, khususnya Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dalam memperkasa dan memajukan fakulti ke tahap lebih tinggi di persada antarabangsa.

“Kerjasama antara UiTM dan AUT diharap akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam membangunkan kurikulum dan penyelidikan yang relevan serta menyokong pembangunan akademik yang lebih berdaya saing dalam dunia global,” katanya dalam satu kenyataan.

MoU ini ditandatangani oleh Mohd Sazili yang mewakili Naib Canselor UiTM dan Naib Pro-Canselor (Antarabangsa) merangkap Dekan Fakulti Rekabentuk dan Teknologi Kreatif (DCT) AUT, Prof Guy Littlefair.

Majlis dihadiri beberapa delegasi dari luar negara termasuk Pengurus Kolaborasi Antarabangsa AUT, Dr Ricardo Chacon Mestre; Pengarah Pembabitan Luar AUT, Prof Madya Petra Theunissen dan Dekan FKPM UiTM, Prof Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman.

Turut serta dalam majlis itu adalah wakil dari Kedutaan Besar New Zealand di Malaysia, Emma Berry dan Laura Muhan serta pengurusan kanan FKPM UiTM.

Lapan pelajar DCT AUT yang juga penerima Biasiswa Perdana Menteri New Zealand turut hadir dalam majlis ini.

Mereka akan terbabit dalam Program Mobiliti Pelajar selama tiga minggu di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top