
Zulkifli menegaskan Gerakan Reset Johor akan terus membawa pendekatan yang menekankan integriti, tadbir urus baik dan penyelesaian terhadap isu rakyat sekiranya diberikan peluang dalam PRN kali ini.
JOHOR BAHRU – Gerakan Reset Johor menyatakan kesediaan untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Penyelarasnya, Datuk Zulkifli Bujang berkata, pihaknya melihat pilihan raya berkenaan sebagai platform terbaik untuk membawa agenda perubahan dan menawarkan pilihan kepada rakyat Johor.
Menurut beliau, Gerakan Reset Johor bersedia turun ke gelanggang demokrasi bersama parti-parti lain dalam usaha mencorakkan masa depan negeri yang lebih sejahtera, adil dan maju.
“Pembubaran DUN Johor membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri yang baharu.
“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada semua pihak yang ingin membawa aspirasi rakyat untuk mendapatkan mandat menerusi proses demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, PRN Johor bukan sekadar medan persaingan politik, sebaliknya platform untuk rakyat menilai prestasi kerajaan negeri sepanjang hampir empat tahun mentadbir.
Katanya, rakyat berhak membuat penilaian terhadap pelaksanaan dasar kerajaan termasuk aspek ekonomi, kos sara hidup, pembangunan dan kebajikan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan bahawa Gerakan Reset Johor akan terus membawa pendekatan yang menekankan integriti, tadbir urus baik dan penyelesaian terhadap isu rakyat sekiranya diberikan peluang dalam PRN kali ini.
“Kuasa menentukan masa depan Johor kini berada di tangan rakyat dan kami bersedia untuk menawarkan idea serta pendekatan baharu demi masa depan negeri ini,” katanya.



