Pempengaruh terkenal, Ryzal Ibrahim berkongsi detik cemas yang dilalui apabila anak keduanya, Rian, tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil dalam satu kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Anak tak sedarkan diri selepas jatuh
Menerusi satu hantaran di Instagram, Ryzal mengakui dia dan isterinya, Maryam You Narae, berdepan saat yang cukup mendebarkan apabila melihat keadaan anak mereka yang tiba-tiba tidak memberikan sebarang respons selepas menangis kuat.
“Gugur jantung kami melihat anak sendiri tidak sedarkan diri selepas jatuh katil.” ujarnya.
Berusaha tak nak bagi Rian tidur
Menurut Ryzal, sejurus selepas terjatuh, Rian menangis sebelum tiba-tiba mendiamkan diri dan menutup mata seolah-olah sedang tidur.
Melihat keadaan itu, pasangan berkenaan segera membawa anak mereka ke unit kecemasan hospital bagi mendapatkan rawatan segera.
“Saya dan Maryam berusaha tak nak bagi Rian lelap sepanjang jalan ke emergency (unit kecemasan) tapi badan dia langsung tiada respon, matanya tertutup walaupun Maryam jerit nama dia sekuat-kuatnya!
“Ya Allah sakitnya melihat isteri jerit nama anak yang kami besarkan kaku, sungguh tiada kata dapat digambarkan.
“(Saya) berharap, bergantung sepenuhnya kepada kuasa Allah S.W.T. supaya berikan kami peluang untuk melihat anak kami sedar ya Allah,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Syukur anak mula buka mata tiba di hospital
Walau bagaimanapun, Ryzal meluahkan rasa syukur apabila Rian mula membuka matanya sebaik sahaja mereka tiba di hospital.
“Sampai di pintu hospital, Rian mula buka mata dan kami terus minta doktor buat CT scan (imbasan CT),” tulisnya lagi.

Hantaran tersebut turut disertakan dengan rakaman video yang memaparkan Maryam dalam keadaan panik sambil menepuk-nepuk Rian bagi memastikan anaknya kekal sedar.
Setakat ini, Ryzal masih belum berkongsi perkembangan lanjut mengenai keadaan terkini Rian selepas mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor.
Sumber: Instagram ryzalibrhm




