Paris: Persekutuan Tinju Dunia, World Boxing, mengumumkan akan memperkenalkan dasar ujian jantina wajib bagi semua atlet lelaki dan wanita yang ingin bertanding dalam kejohanan anjuran atau kelolaan badan itu.
Langkah kontroversi ini diumumkan selepas timbul kekecohan berkaitan beberapa atlet termasuk pemenang pingat emas kategori welterweight wanita dari Algeria, Imane Khelif, pada Sukan Olimpik Paris tahun lalu.
Menurut kenyataan rasmi, World Boxing sudah memaklumkan kepada Persekutuan Tinju Algeria bahawa Khelif tidak akan dibenarkan bertanding dalam kategori wanita pada kejohanan Eindhoven Box Cup di Belanda, 5 hingga 10 Jun selagi dia belum menjalani ujian jantina yang ditetapkan.
“Imane Khelif tidak dibenarkan menyertai mana-mana acara wanita anjuran World Boxing sehingga menjalani ujian pengesahan jantina,” jelas kenyataan itu.
Dasar baharu ini menetapkan bahawa semua atlet berusia 18 tahun ke atas perlu menjalani ujian PCR atau ‘polymerase chain reaction’ bagi menentukan jantina asal mereka sejak lahir sebelum dibenarkan menyertai kejohanan rasmi.
Ujian PCR itu akan mengesan gen SRY iaitu penanda kepada kehadiran kromosom Y yang menunjukkan jantina biologi lelaki. Sampel boleh diambil melalui calitan hidung, mulut, air liur atau darah.
Persekutuan kebangsaan masing-masing bertanggungjawab melaksanakan ujian itu dan perlu mengemukakan sijil pengesahan jantina kromosom setiap atlet ketika mendaftar ke kejohanan.
World Boxing kini memegang hak menganjurkan acara tinju untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas menerima pengiktirafan sementara daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
© New Straits Times Press (M) Bhd




