UMA Racing kekal 'ikat' Nazirul Izzat

UMA Racing kekal 'ikat' Nazirul Izzat

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: UMA Racing mengumumkan kerjasama berterusan dan sokongan penajaan kepada pelumba berbakat, Nazirul Izzat Baharuddin yang mewakili pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor Racing dalam PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Kerjasama ini membuktikan komitmen berterusan UMA Racing dalam memajukan sukan permotoran di Malaysia dan rantau Asia secara amnya.

Nazirul Izzat yang mesra dikenali sebagai Ayoi mencuri tumpuan dengan prestasi konsisten di saingan tempatan dan antarabangsa.

“Kami berbesar hati untuk menaja Nazirul Izzat, seorang pelumba Malaysia yang cemerlang dan membuktikan kemampuannya di pentas Asia dengan pencapaian yang membanggakan serta prestasi yang konsisten.

“Di UMA Racing, kami sentiasa bersemangat dalam menyokong pelumba Malaysia di industri sukan permotoran dan kami berbangga untuk terus bersama Nazirul Izzat dalam perjalanan kariernya,” kata Penolong Pengurus Besar UMA Racing, Alfred Lim Chiu Siong.

Melalui kerjasama ini, UMA Racing akan terus membekalkan komponen perlumbaan bertaraf tinggi serta sokongan teknikal bagi membolehkan Nazirul Izzat beraksi pada tahap terbaik.

“Saya amat berterima kasih kepada UMA Racing atas kepercayaan dan sokongan yang berterusan. Ia memberi motivasi kepada saya untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan kerana saya tahu saya mempunyai pasukan dan penaja yang memberi sokongan padu,” kata Nazirul Izzat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top