Umai artis pertama syarikat rakaman Siti Nurhaliza 

Umai artis pertama syarikat rakaman Siti Nurhaliza 

norhayati_nordin@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur : Penyanyi remaja meningkat naik, Ummi Umairah, 14, dipilih menjadi artis pertama bernaung di bawah syarikat pengurusan bakat, SN Legacy Sdn Bhd milik biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Umai mengikat kontrak selama lima tahun bersama syarikat milik ibu saudaranya itu mulai 1 Januari lalu dan bakal muncul dengan single pertama tidak lama lagi yang masih dalam pemilihan.

Siti berkata, syarikatnya memberi peluang kepada Umai kerana gadis itu sudah membuktikan bakat dengan meraih pingat emas di World Championships of Performing Arts (WCOPA) pada Julai tahun lalu,

“Pembabitan Umai bersama syarikat SN Legacy bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi secara tidak langsung mampu memberi bimbingan secara profesional, selain menyambung legasi keluarga kami dalam bidang muzik.

“Harapan saya dengan termeterai kontrak ini, ia dapat menjaga Umai yang juga anak saudara saya untuk mendapat bimbingan sepatutnya dalam bidang muzik secara profesional kerana bakatnya.

“Apa yang pasti, Umai akan terus belajar untuk menjadi anak seni yang lebih cemerlang dan mungkin dia lebih baik daripada saya suatu hari nanti. Bagaimanapun, Umai adalah penyambung legasi keluarga,” katanya.

Terdahulu, Siti dan Umai hadir pada majlis sidang media sempena meraikannya sebagai artis pertama di bawah SN Legacy yang berlangsung di sebuah restoran di Wangsa Maju di sini, hari ini.

Umai pula berkata, peluang keemasan diberikan oleh ibu saudaranya yang dipanggil Mak Iti itu mampu membentuk dirinya menjadi anak seni yang lebih berjaya pada masa akan datang. 

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat peluang bernaung dengan SN Legacy milik Mak Iti yang juga darah daging sendiri. Ini adalah detik bermakna dan terindah buat saya. 

“Saya akan gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk terus memajukan diri sebgai penyanyi berjaya. Mohon doakan saya untuk mengharungi industri muzik tanah air yang semakin mencabar ini,” katanya.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top