am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Salah faham mengenai prinsip perundangan Islam dan tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen tidak berasas menjadi punca wujud pelbagai persepsi negatif membabitkan sistem kehakiman di negara ini.
Situasi itu bukan sahaja menimbulkan salah tanggapan terhadap institusi perundangan, malah menyebabkan individu seperti hakim sering terpalit dengan pelbagai dakwaan jahat, antaranya secara sengaja bertindak bertentangan dengan prinsip Islam.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, secara umumnya, dalam keadaan tertentu, pemahaman masyarakat terhadap Islam kerap diputarbelitkan.
“Sebab itu saya cuba untuk berkongsi pemahaman mengenai Islam sama ada dengan pekerja (pengamal undang-undang) dan masyarakat dalam sesi pertemuan dengan mereka.
“Ini disebabkan ada antara kita yang melihatnya bukan dalam perspektif yang sebenar. Bila kita sebut pasal Islam, semuanya mengenai keadilan.
“Islam tidak mengajar kita untuk menilai melalui warna kulit, agama atau bangsa seseorang dengan keadilan sosial adalah perkara paling diutamakan.
“Malah, ada pengamal undang-undang mengkritik saya tidak memartabatkan undang-undang Islam… sedangkan mereka ini golongan yang faham (undang-undang)… maka saya lihat perkara ini turut disalah erti kerana sentimen yang (kerap dimainkan) secara melampau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Live To Lead: My Journey From Kota Bharu to the Palace of Justice di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga Pro-Canselor UM, Tan Sri Zainun Ali.
Hadir sama, Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, Datuk Edwin Michael; Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman dan Dekan Fakulti Undang-Undang, UM, Prof Dr Jason Chuah.
Acara anjuran bersama Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim dan Fakulti Undang-Undang, UM itu menampilkan alumni dalam kalangan tokoh bidang perundangan yang lahir daripada fakulti itu untuk berkongsi perjalanan hidup masing-masing.
Tengku Maimun, yang akan bersara wajib pada Julai ini, turut berkongsi kes paling memberi kesan dan diingati sepanjang karier beliau.
Katanya, ia membabitkan kes penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka, Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, pada April 2009 tanpa keizinan Indira selepas beliau memeluk Islam.
Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira hampir 14 tahun lalu kepada Islam oleh bekas suami mualafnya, adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Tengku Maimun berkata, pelbagai kecaman diterimanya termasuk didakwa ‘tidak mempertahankan Islam’.
“Pada saya, untuk halang anak bersama ibu kandung mereka (adalah tidak wajar). Apa dosa Indira pada kita semua? Dia terpaksa melaluinya dari 2009 sampai sekarang, malah anak-anaknya sehingga kini saya percaya masih tak diketahui jejak mereka.
“Jadi mana keadilannya? Ini yang berlaku dan saya percaya ia disebabkan salah faham mengenai Islam.
“Sebab itu kesimpulan yang saya buat mengenai kes ini, ia tak berkaitan dengan prinsip Islam, tetapi isu keadilan. Seorang ibu tidak seharusnya kehilangan anak-anak mereka dan sebaliknya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




