aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dimaklumkan dua minggu sebelum kejohanan, pelari 400 meter negara, Umar Osman tetap optimis dan bersedia menyahut cabaran Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun yang mana dia akan turun beraksi, esok.
Umar, 20, mengakui terkejut apabila namanya disahkan beraksi kerana sebelum ini dikhabarkan tempat wild card itu akan diberikan kepada pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy.
Namun Umar menegaskan dia tidak pernah mengabaikan persiapan kerana program latihan yang disusun jurulatihnya, Simon Lau, sememangnya sudah memasukkan kejohanan itu dalam perancangan tahunan.
“Terkejut juga bila dapat tahu saya pergi Kejohanan Dunia ni dua minggu sebelum. Tapi saya bersyukur sebab masih dalam keadaan baik, tak ada kecederaan. Latihan pun memang ikut program jurulatih sejak awal tahun.
“Saya akui teruja untuk beraksi dan berharap segalanya berjalan mengikut apa yang dirancang,” katanya.
Atlet kelahiran Johor itu sebelum ini mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas acara 400m di Sukan SEA Kemboja 2023, selain memegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09 saat di Sukan Universiti Dunia Chengdu, China pada 2023.
Musim ini, Umar mencatat 46.25 saat di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, Julai lalu, selain beraksi di Jerman dengan masa 46.97s. Baginya, prestasi konsisten itu menjadi landasan terbaik untuk melakar rekod baharu kebangsaan dengan sasaran di bawah 46 saat.
“Di ATF dan Sukan Universiti Dunia sebelum ini saya gagal capai sasaran bawah 46s. Jadi di Tokyo, saya mahu gunakan peluang ini untuk kejar semula catatan itu atau cuba pecah rekod kebangsaan,” katanya.
Umar yang kini menjalani latihan pusat di Bukit Jalil menjelaskan faktor cuaca di Jepun yang hampir sama dengan Malaysia menjadi kelebihan buatnya mengekalkan rentak larian.
“Cuaca sama macam Malaysia, jadi saya harap itu beri kelebihan kepada saya. Walaupun dimaklum pada saat akhir, saya sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.
Mengulas cabaran dari pelari Vietnam yang dikatakan sudah mencatat 45 saat, Umar enggan memandang ringan meskipun catatan itu belum disahkan Olahraga Dunia (WA).
“Saya anggap rasmi saja supaya saya tak rasa selesa. Di Sukan SEA nanti saya akan beri saingan sengit dan insya-Allah buat catatan lebih baik daripada dia,” katanya yang akan kembali berlatih di Johor selepas selesai tugasan di Kejohanan Dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




