RIYADH: Umat Islam di seluruh dunia meraikan Aidilfitri hari ini dengan dibayangi penindasan saudara seagama di Palestin di tangan regim Israel dan ancaman pandemik COVID-19.
Perayaan yang menandakan tamatnya Ramadan itu secara tradisinya disambut dengan solat sunat Aidilfitri, menziarahi keluarga dan membeli pakaian, hadiah serta manisan.
Keganasan Israel-Palestine membawa kesedihan kepada perayaan kali ini, yang sememangnya suram ekoran penularan pandemik, dengan kebimbangan ia berlarutan menjadi perang besar.
Pertempuran bermula minggu lalu lalu apabila tentera Israel cuba menghalang akses penduduk Palestin yang mahu menunaikan solat Jumaat terakhir pada bulan Ramadan di Masjid Al Aqsa.
Ketegangan memuncak lagi susulan tindakan Israel mengusir warga Palestin dari Sheikh Jarrah, sebuah daerah di timur Baitulmaqdis, yang didakwa sebahagian daripada kawasan Yahudi tetapi tidak diiktiraf badan antarabangsa.
Israel hari ini, turut berusaha menangani rusuhan antara warga Arab dan Yahudi di Israel, yang semakin meningkat sejak tenteranya berbalas serangan dengan Hamas di Gaza.
Setakat ini, 83 orang maut, termasuk 17 kanak-kanak, manakala lebih 480 cedera dalam serangan udara berterusan sejak beberapa hari lalu di Gaza.
Mengulas suasana di sebahagian besar dunia Islam, Raja Arab Saudi, Raja Salman, menyuarakan kritikan pedas terhadap Israel dalam panggilan telefon kepada Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, semalam.
Raja Salman menegaskan: “Arab Saudi mengecam tindakan Israel di Baitulmaqdis dan keganasan dilakukan rejim Zionis, selain menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin,” lapor Agensi Berita Saudi. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




