Umno belum terima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Zafrul

Umno belum terima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Zafrul

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Umno belum menerima surat peletakan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sehingga kini Umno belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan itu susulan kenyataan dibuat Tengku Zafrul di media sosialnya.

“Umno memandang serius niat peletakan jawatan beliau kerana ingin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain sewenang-wenangnya.

“Ini bagi mengelak berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sehingga tercetus prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap setiakawan, keikhlasan serta kejujuran di kalangan ahli akar umbi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada pucuk pimpinan Umno.

Tengku Zafrul dilapor turut mengumumkan keluar dari parti itu sebagai ahli dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top