mdroji@bh.com.my
Kuching: Dua individu yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di Kapit dan Bintulu ditemui lemas hari ini.
Dalam kes pertama di Sungai Katibas, Song dalam Bahagian Kapit, seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai itu bersama abangnya dan tiga rakan mereka petang Isnin lalu, ditemui lemas hari ini.
Mayat mangsa, Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain, 13, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10.44 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui di tebing Sungai Katibas di lokasi kira-kira 1.5 kilometer dari Rumah Panjang Robert, Nanga Bajor, Song.
“Mayat mangsa dibawa ke jeti rumah panjang itu dan diserahkan kepada pihak polis pada jam 10.54 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan di Tatau, dalam Bahagian Bintulu, lelaki yang dilaporkan hilang di Rumah Panjang Enjan Nanga Biban, Tatau, pada malam Selasa lalu turut ditemui lemas.
Mayat mangsa, Alexsen Gindi, 24, ditemui pada jam 9.10 pagi tadi oleh orang awam di tebing sungai berdekatan rumah panjang kediamannya.
Pasukan SAR tiba di lokasi mayat ditemui yang terletak 14 kilometer dari pusat kawalan bomba (PKB) pada jam 11 pagi.
JBPM Sarawak menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 10.12 malam Selasa lalu yang memaklumkan kehilangan mangsa.
Operasi SAR diaktifkan semalam membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, anggota Balai Polis Tatau serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tatau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




