Masjid perlu terus diperkasa sebagai wadah penyatuan ummah

KUALA LUMPUR: Institusi masjid perlu terus diperkukuh sebagai wadah penyatuan ummah, penyebaran ilmu serta pembinaan generasi muda, bertepatan dengan fungsi pentingnya sejak zaman Rasulullah SAW.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, fungsi masjid tidak seharusnya terbatas kepada urusan ibadah, malah menjadi tempat masyarakat berinteraksi, menimba pengetahuan dan mengeratkan hubungan sesama mereka.

Katanya, kepentingan masjid dalam membentuk masyarakat yang bersatu dapat ditelusuri melalui sirah Rasulullah SAW selepas penghijrahan baginda ke Madinah, khususnya menerusi pembinaan masjid.

“Pembinaan institusi berkenaan menjadi salah satu usaha Rasulullah SAW menyatukan masyarakat serta mengukuhkan ikatan persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

“Perbezaan latar belakang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembinaan masyarakat. Sebaliknya kita perlu mencari titik persamaan, saling menghormati dan bekerjasama demi kebaikan bersama.

“Perbezaan tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita berpecah, sebaliknya menjadi kekuatan apabila kita mampu hidup bersama dengan saling menghormati,” katanya ketika berucap pada program Perarakan dan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Kampung Baru, hari ini.

Beliau berkata, semangat penyatuan ummah perlu dizahirkan dalam kehidupan seharian melalui sikap prihatin terhadap masyarakat, khususnya golongan yang berdepan kesusahan dan memerlukan bantuan.

Katanya, masyarakat perlu peka terhadap keadaan jiran, membantu keluarga yang menghadapi kesulitan serta memberi perhatian dan bimbingan kepada golongan muda yang memerlukan sokongan.

“Nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW wajar diterapkan dalam kehidupan dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, mengambil berat kebajikan keluarga serta membimbing generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Masjid Jamek Kampung Baru terus menjadi tumpuan masyarakat dalam memperkukuh perpaduan, menyebarkan ilmu, membentuk sahsiah serta membimbing generasi muda.

Katanya, usaha menghidupkan masjid perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu kepada penganjuran program tertentu, sebaliknya dijadikan sebahagian daripada kehidupan masyarakat setempat.

“Penganjuran program pada pagi ini membuktikan komitmen jawatankuasa masjid dalam menggerakkan komuniti, sekali gus berharap semangat berkenaan dapat diteruskan secara konsisten selepas majlis berakhir,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top