Ibarat zoo percuma, penduduk berpusu-pusu melihat 'Mek Jeram'

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kehadiran seekor gajah liar betina yang digelar ‘Mek Jeram’ oleh penduduk menjadikan Kampung Jeram, Manir, di sini, seolah-olah zoo apabila orang ramai berpusu-pusu datang melihat mamalia itu sejak Ahad lalu.

Mamalia terbabit dikesan memasuki kawasan kampung pada petang Jumaat lalu sebelum ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, pada malam Sabtu.

Gajah itu menjadi tarikan buat penduduk untuk melihat mamalia itu dengan lebih dekat.

Situasi itu turut membuka rezeki kepada peniaga kecil apabila mereka mengambil kesempatan berniaga di kawasan berkenaan susulan kehadiran orang ramai.

Peniaga aiskrim, Mohd Sabri Aziz berkata, dia mula berniaga di kawasan itu sejak Ahad selepas melihat orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat ‘Mek Jeram’.

“Sejak tersebarnya kehadiran gajah itu, orang ramai mula membanjiri kampung ini, dan mendorong saya untuk berniaga di sini.

“Jualan amat memberangsangkan kerana tidak sampai sejam aiskrim yang saya bawa sudah habis dijual,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syakir Muhammad Syukri, 14, dari Kampung Tetambah, Manir berkata, dia sanggup datang seawal pagi bersama beberapa rakannya dengan menaiki motosikal kerana mahu melihat gajah secara berdepan.

“Biasanya tengok dalam televisyen sahaja, jadi bila tahu gajah ada di sini, memang rasa teruja nak datang,” katanya.

Nur Azlin Zakaria, 35, dari Kampung Losong Haji Mat Syafie pula berkata, dia membawa anak-anaknya ke Kampung Jeram, untuk melihat gajah lebih dekat.

“Anak-anak teruja nak lihat gajah kerana bukan selalu dapat lihat haiwan ini di depan mata walaupun dibenarkan berada pada jarak yang jauh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top