Anwar seru umat Islam hayati Maulidur Rasul, jadi contoh terbaik

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Serdang: Umat Islam diseru supaya menghayati sambutan Maulidur Rasul supaya boleh menjadi contoh terbaik kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran umat Islam bukan hanya untuk mempamerkan nilai murni tetapi juga menjadi contoh terbaik.

“Cabaran bagi kita apabila menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW bukan dari segi sambutan tetapi dorongan ke arah penghayatan hidup.

“Dalam masyarakat ada prinsip dan nilai berbeza yang diterapkan bukan sahaja kepada prinsip kaum.

“Ia seperti mana masyarakat Islam di Malaysia yang boleh dibina atas prinsip diterapkan Nabi Muhammad SAW untuk menjadi masyarakat istimewa dengan ciri yang mendorong ke arah kecemerlangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sudah tiba masanya setiap umat Islam di negara ini membudayakan ilmu sebagai tanda kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW.

“Justeru itu, umat Islam disarankan supaya memiliki sekurang-kurangnya senaskhah sirah Rasulullah SAW sebagai koleksi peribadi di rumah.

“Selain itu, setiap isi rumah juga perlu memiliki sekurang-kurangnya satu set koleksi hadis Rasulullah SAW seperti Sahih Bukhari, Muslim dan kitab hadis yang lain.

“Bacaan hadis Rasulullah SAW juga perlu dijadikan amalan harian bagi menghidupkan budaya ilmu dan lebih mengenali sunnah Baginda selain membaca al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan usaha pembudayaan ilmu menerusi pelbagai inisiatif termasuk penganjuran beberapa program berkaitan hadis.

“Penganjuran program-program itu dipimpin oleh ulama tersohor dunia yang mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia.

“Kita percaya dan yakin jika usaha membudayakan ilmu terus dilaksanakan, ia akan merapatkan saf dan mengeratkan perpaduan sekali gus berganding tenaga ke arah usaha memakmurkan negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top