UMNO bukan parti anak-beranak – Asyraf Wajdi

UMNO bukan parti anak-beranak – Asyraf Wajdi

SHAH ALAM – Keputusan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meninggalkan parti itu didakwa mempunyai kaitan dengan kegagalan anak bekas pemimpin itu dipilih sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berasa dukacita dengan pengumuman sahabatnya itu untuk keluar dari UMNO serta-merta hari ini.

“Ya, itu merupakan hak demokrasi beliau yang dipertahankan oleh Perlembagaan. Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan segala kebaikan dilimpahkan atas jasa yang disumbangkan kepada parti selama ini.

“Namun, saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, sedangkan beliau sendiri menulis secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan Tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon DUN Rengit.

Menurut Dr Asyraf Wajdi, anak Mohd Puad masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin, namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihanraya.

“Bagaimanapun adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti beliau mengugut parti untuk mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon menggantikan tempat beliau di DUN Rengit.

“Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini.

“Untuk rekod, ini bukan kali pertama beliau mengugut untuk keluar parti apabila tidak memenuhi kehendak beliau. Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO juga beliau pernah mengugut untuk keluar parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat,” katanya.

Beliau berkata, sudah cukup untuk UMNO diugut sedemikian kerana parti itu bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin.

Katanya, perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu.

“Parti ini telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama.

“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. Bak kata pepatah Melayu, ‘air susu dibalas air tuba’ jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan.

“UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana individu,” katanya.

 

Scroll to Top