KUALA LUMPUR: UMNO mengambil pendirian menghormati tindakan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar.
Namun pada masa sama parti itu terus menyokong Kerajaan Perpaduan di neg
eri berkenaan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian berkenaan selepas parti mendengar penjelasan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Kata beliau, tindakan kesemua ADUN BN berkenaan adalah kerana sikap Menteri Besar yang membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“UMNO Malaysia berpendirian untuk menghormati ADUN BN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Beliau sehubungan itu melihat satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya.
Asyraf Wajdi dalam pada itu berkata, Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung semalam juga telah membincangkan dan membuat beberapa ketetapan.
“Antaranya parti sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO iaitu menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara
“UMNO juga memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.
//Habis




