am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UMNO berpendirian untuk menghormati Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO juga sudah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengenai tindakan ADUN BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“Satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang membabitkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.
“UMNO memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.
Katanya, ketetapan itu hasil perbincangan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung pada Rabu (29 April 2026)
© New Straits Times Press (M) Bhd




