Lebih banyak krisis dijangka timbul sekiranya kerajaan negeri diteruskan tanpa majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyatakan pelbagai perkara termasuk dasar, perbelanjaan dan pelaksanaan program kerajaan boleh dipertikaikan dalam situasi tersebut.
Tak mungkin boleh jalankan pentadbiran dengan sokongan minoriti
Menurut beliau yang juga ADUN Pertang, pentadbiran dengan sokongan minoriti bukan sesuatu yang praktikal dan boleh mencetuskan ketidakstabilan pada masa depan.
“Tidak mungkin kita boleh menjalankan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti kerana banyak perkara yang boleh dipertikaikan.
“Kamu tidak mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi. Jadi ia akan menimbulkan lebih banyak krisis pada masa depan,” katanya.

Reaksi terhadap pendirian MB Negeri Sembilan
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap pendirian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dilaporkan akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti selepas menerima nasihat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengulas lanjut, Jalaluddin menegaskan bahawa mengikut amalan biasa, seorang menteri besar tidak sepatutnya meneruskan pentadbiran apabila sudah kehilangan majoriti mudah.
“Kita sudah menarik sokongan dan keyakinan terhadap menteri besar dan kerajaan negeri. Kalau dari segi peraturannya, kerajaan sudah hilang jumlah, majoriti mudah sudah tidak ada pada kerajaan.
“Jadi tentunya menteri besar sudah tidak boleh lagi meneruskan tugas sebagai menteri besar. Itu mengikut pemahaman dalam keadaan yang biasa,” katanya.




