dayana@hmetro.com.my
Konsert Atas Angin Festival 2024 menyuntik elemen sedikit berbeza kali ini apabila menampilkan Alleycats sebagai antara penghibur utama.
Jika dibandingkan dengan band yang biasa mengambil bahagian dalam konsert anjuran Atas Angin, ternyata anggota Alleycats terutama penyanyinya, David Arumugam sudah berpangkat ‘datuk’ buat sebahagian besar penonton yang membanjiri depan pentas Soundloud.
Kemunculan Alleycats dinanti-nantikan penonton yang mula memenuhi ruang acara di Rooftop @ 7, MyTown Cheras, Kuala Lumpur dan tidak berganjak walaupun hujan renyai mula turun ketika kumpulan itu membuat persembahan.
Penyanyi berusia 74 tahun itu dilihat masih bertenaga menyampaikan lagu hit Alleycats dengan trademark ‘terima kasih’ acap kali disebut David.
Persembahan Alleycats dimulakan dengan lagu Sampaikan Salam, Berjuta Batu dan Hingga Akhir Nanti, di mana penonton dilihat bertenaga menyanyi bersama-sama kumpulan berkenaan, namun momentum sedikit menurun apabila kumpulan itu membawa lagu nyanyian asal Deep Purple, Smoke On The Water.
Telatah David menyelak buku lirik umpama memilih lagu untuk karaoke di kenduri kahwin mencuit hati penonton yang sabar menanti lagu apa yang dipilih David untuk dinyanyikan pada petang itu.
Seorang penonton veteran yang menggelar dirinya Uncle Burn menjadi individu bertuah pada hari itu kerana dipelawa menyanyi bersama-sama David mendendangkan lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi.
Persembahan Alleycats diteruskan dengan lagu ‘cover’ It’s My Life nyanyian asal Bon Jovi, Cinta Itu dan Andainya Aku Pergi Dulu.
Selain Alleycats, Atas Angin Festival 2024 turut menampilkan 101 penyanyi, band dan DJ dalam acara yang berlangsung selama 15 jam tanpa henti, bermula jam 9 pagi itu.
Pada awal penganjuran acara ini pada 2022, hanya dua pentas beraksi serentak dan bertambah kepada empat pentas tahun lalu.
Namun, pada penganjuran tahun ini, lima pentas beraksi serentak iaitu di Soundloud, Indienasional, Burn Tau, Kongsi Suara dan yang terbaharu, Rising.
Band indie pelbagai genre dan mempunyai pengikut setia menjadi elemen utama kepada kejayaan konsert kali ini.
Band seperti Plague of Happiness, Budak Nakal Hujung Simpang, Couple, Jemson dan Johny Comes Lately yang tidak asing dalam dunia indie mudah menarik perhatian penonton dengan barisan lagu popular mereka.
Walaupun konsert ini lebih terkenal dalam kalangan penggemar muzik indie, ia turut menampilkan artis ‘mainstream’ antaranya Aizat Amdan, Amir Jahari, 6ixth Sense, IamNEETA dan Hyper Act.
Kemunculan Bittersweet yang sudah lama tidak membuat persembahan pada skala besar mengubat rindu peminat dengan barisan lagu popular mereka antaranya Burn It Down, 1234, Untitled dan Perfect Match, menjadi penutup sempurna buat edisi kali ini.
Usaha Atas Angin menganjurkan konsert dengan barisan artis melebihi 100 ini perlu diberi pujian kerana dalam keadaan beberapa penganjur merungut kos penganjuran konsert semakin meningkat dan penonton berkira-kira berbelanja untuk membeli tiket, Atas Angin Festival 2024 berjaya menarik hampir 6,000 penonton.
Walaupun timbul cakap-cakap mengenai pentas yang kurang mendapat perhatian penonton, namun tidak boleh dinafikan, festival ini menjadi platform terbaik untuk band baharu memulakan langkah dalam kancah persembahan live.
© New Straits Times Press (M) Bhd




