Uncle Best buka kilang baharu

UNCLE Best Mart Sdn Bhd, pengeluar ayam gunting di bawah jenama Uncle Best terus mengorak langkah mengembangkan perniagaannya dengan membuka kilang baharu lebih besar di Semenyih pada suku kedua tahun ini.

Pengarahnya, Saiful Nizam Zakaria berkata, kilang baharu yang berkeluasan kira-kira 8,000 kaki persegi itu dibina untuk menampung permintaan produk Uncle Best yang semakin meningkat.

Katanya, dianggarkan kilang itu mampu menampung kapasiti pengeluaran 300,000 kepingan ayam seminggu.

Uncle Best sudah berada di pasaran sejak 2010 dan kilang kami buat masa ini di Kajang Impian memproses dan memotong 10,000 kepingan ayam sehari.

“Kami juga dalam perancangan membuka cawangan di Pahang, Kedah dan Ipoh kerana sudah ada permintaan yang ingin menjadi stokis Uncle Best.

“Setakat ini, stokis Uncle Best berada di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Uncle Best antara pengusaha terawal yang memperkenalkan Sotong King selain popular dengan ayam gunting dan ayam pop corn.

Saiful berkata, terbaharu, pihaknya memperkenalkan menu baharu iaitu mozzarella stik dan donut cheesy.

“Syarikat sentiasa membuat kajian dan pembangunan (R&D) untuk menu Uncle Best selain memastikan rasa, kualiti dan potongan ayam memenuhi cita kehendak pelanggan.

“Malah, ayam kami diperoleh dari kilang yang halal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempelawa orang ramai yang ingin menjana pendapatan menjadi rakan niaga Uncle Best dengan modal serendah RM3,300.

“Kami mempunyai lebih 300 rakan niaga (ejen) Uncle Best yang aktif berniaga dan rata-rata mereka mampu menjana pendapatan antara RM700 ke RM800 sehari bergantung pada lokasi berniaga,” katanya.