mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kajang: Lagu-lagu ciptaannya banyak dinyanyikan oleh artis-artis popular dan diminati oleh jutaan pendengar di Malaysia dan negara jiran.
Bagaimanapun penghujung usia komposer Ross Ariffin yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang, semalam, bukan seindah lagu-lagu ini.
Akhir hayatnya, Ross atau nama sebenarnya Roslan Ariffin Jamil, 63, hanya dikelilingi oleh rakan-rakan di Rumah Seri Kenangan Cheras.
Mereka jugalah, sama ada sebaya atau lebih tua dengannya termasuk bertongkat, hadir mengiringinya di Tanah Perkuburan Islam (Baru) Sungai Kantan, Selangor, yang menjadi destinasi kekal buatnya.
Penguasa Rumah Seri Kenangan Cheras, Zamzuri Mohamed berkata, walaupun pernah berada di puncak populariti, Ross yang dipanggil ‘uncle’ seorang komposer yang low profile dan merendah diri.
“Allahyarham uncle Ross seorang sangat ceria orangnya. Tidak banyak kerenah dan sentiasa cakap ‘everything is okay’.
“Nama Allahyarham sangat besar di era 90-an, tapi arwah tetap dengan sikapnya yang mudah didekati. Rumah Seri Kenangan menerima kemasukan beliau pada November lalu.
“Saya masuk bertugas di sana pada Januari lalu dan diberitahu terdapat seorang warga emas yang dimaklumkan, seorang komposer yang banyak menulis lagu-lagu yang terbaik untuk beberapa artis yang terbaik di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, semasa Ross masuk ke sana, keadaannya masih lagi sihat dan masih boleh berjalan tapi dengan bantuan tongkat.
“Selepas dua, tiga bulan kesihatannya mula merosot di mana dia sudah menerima serangan stroke. Kita pun merujuk kepada pihak kesihatan di Hospital Kajang.
“Selepas itu dimaklumkan terdapat gangguan saraf dan dia tak mampu lagi samada untuk bermain apa-apa alat muzik. Dia ada juga mencuba untuk main alat-alat muzik tapi keadaan dan keupayaan fizikalnya itu dah tak boleh lagi.
“Dia, seorang yang patuh pada peraturan dan jadual yang sudah kita tetapkan. Dari segi pemakanan, kita bagi diet yang seimbang memandangkan dia ada pelbagai komplikasi penyakit seperti kecil manis, darah tinggi, jantung,” katanya.
Allahyarham juga diberikan peralatan seperti keyboards oleh Menteri Komunikasi untuk berlatih dan Zamzuri mahu Ross menunjukkan skilnya untuk beraksi dalam persembahan Sekretariat Asean, Julai lalu.
“Jadi dengan keyboards itulah dia berlatih dan masa latihan yang kita tetapkan dalam tempoh bulan.
Tapi selepas dua bulan berlatih, dia dah tak mampu lagi pertama dari segi keupayaan dia untuk bertutur dan kedua, pergerakan tangannya.
“Dia ada masalah saraf. Uncle tak dapat sertai dan kami gantikan dengan rakan dia yang ada di Rumah Seri Kenangan bermain keyboards.
“Sepatutnya kita minta uncle mainkan lagu-lagu popular dia, tapi pada hari kejadian kita tak dapat gunakan dia, jadi kawannya mainkan lagu-lagu yang biasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd