Undi 18: Alasan SPR janggal, jangan guna alasan PKP – Sivarraajh

KUALA LUMPUR – Alasan yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri Undang-Undang dalam isu pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik ternyata berbeza.

SPR mengatakan prosesnya memakan masa sehingga September 2022 walhal Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada November 2020 pula memberikan jaminan bersungguh-sungguh kerajaan akan komited perlaksanaan Undi 10 selewat-lewatnya Julai 2021.

Itu luahan Naib Presiden MIC merangkap Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional, Datuk Sivarraajh Chandran.

Menurutnya, tindakan SPR seperti tidak komited dengan komitmen kerajaan untuk memperkasakan hak dan penglibatan golongan muda dalam decision making process melalui pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik.

“Saya berasa sedikit janggal dengan alasan yang diberikan SPR sedangkan Takiyudin telah menyatakan kerajaan menjangka pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

“Adakah SPR tida sedar pelaksanaan PKP akan menjejaskan kebolehan SPR pada ketika itu? Hakikatnya SPR perlu lebih efektif dalam menangani isu ini.

“Saya faham pelaksanaan PKP ( Perintah Kawalan Pergerakan) dan ini akan sedikit sebanyak menjejaskan kebolehan SPR namun keadaan tersebut tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menangguh pelaksanaan kedua-dua agenda tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

SPR dalam kenyataan sebelum ini menyatakan, PKP membantutkan proses persediaan berkenaan.

Jelas Sivarraajh lagi, hakikatnya pindaan Rang Undang-Undang Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membawa kepada pelakasanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik ini telah mendapat persetujuan hampir semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara dari semua parti.

“Perkara ini sahaja cukup untuk memberi gambaran sebenar kepentingan kita melaksanakan kedua-dua agenda tersebut dengan kadar segera.

“Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam masa terdekat sejurus penularan wabak Covid – 19 kembali reda atau pulih sepenuhnya.

“Mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang berjalan lancar, kita sepatutnya boleh menjangkakan PRU selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Maka SPR juga perlu memastikan bahawa persiapan pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik bergerak seiring dengan timeline tersebut,” ujarnya.

“Jika kelewatan ini disebabkan keperluan undang-undang, saya percaya terdapat ramai pakar perundangan di SPR dan Jabatan Peguam Negara yang mampu membantu menyelesaikan kekangan tersebut.

“Jangan terus menjadikan Covid atau darurat sebagai alasan untuk menafikan hak anak muda,” tegasnya. – MalaysiaGazette