fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kumpulan Ungu menzahirkan kesedihan atas pemergian 53 kru kapal selam KRI Nanggala 402 yang tenggelam di perairan Bali, baru-baru ini.
Wakil Ungu, Makki berkata, tidak hanya mereka, malah seluruh rakyat Indonesia sedih atas tragedi yang menimpa tentera laut yang digelar sebagai pahlawan Indonesia itu.
“Kami turut berdukacita atas berita ini. Kerana apa sahaja alasan atau silap, itu adalah berita duka buat kami, keluarga dan teman seangkatan mereka. Ini adalah kecelakaan yang cukup tragis kerana semuanya gugur dalam tugas, tiada selamat dan sememangnya layak digelar pahlawan.
“Semoga keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan dan kesabaran. Dan semoga pihak berkuasa akan menemui sebab di sebalik kecelakaan ini supaya ia dapat dihindari daripada terjadi lagi,” katanya kepada BH Online.
Semalam, KRI Nanggala 402 ditemui pecah di dasar laut di perairan Bali dengan semua 53 kru disahkan meninggal dunia.
Kumpulan Ungu berkongsi perasaan ketika ditemubual secara virtual sempena pelancaran single terbaharu bersama Lesti Kejora berjudul Bismillah Cinta.
Single Bismillah Cinta ditulis vokalis kumpulan Ungu, Pasha itu juga memberi tanda Ungu kini kembali aktif selepas lima tahun Pasha menjawat tugas sebagai Wakil Wali Kota Palu sejak Februari 2016.
Pasha atau nama sebenarnya, Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 41, berkata single Bismillah Cinta adalah karya segar buat pendengar yang merindui penampilan Ungu.
“Dengan kembalinya saya, pastinya perlu ada sesuatu yang istimewa untuk pendengar. Saya ingin memberitahu sudah kembali sepenuh masa kepada Ungu.
“Alhamdulillah, label kami bersetuju untuk kami mengeluarkan album, di mana single Bismillah Cinta adalah single pertama untuk album ini. Kami merasakan ini adalah masa tepat untuk mengeluarkan satu album dan berkolaborasi bersama Lesti.
“Lesti adalah penyanyi muda mempunyai prestasi yang luar biasa. Dia digelar Diva Muda Dangdut Indonesia kerana penggemarnya meliputi seluruh dunia. Dan ini adalah suatu yang baik buat Ungu untuk mengetengahkan karya baharu,” katanya.
Single Bismillah Cinta dikatakan bersesuaian dengan Ramadan yang menceritakan mengenai kebahagiaan umat Islam dengan kehadiran bulan mulia ini. Selain itu, ia turut menyelitkan pesanan mengenai pandemik yang membatasi banyak hal dan hubungan cinta jarak jauh.
“Alhamdulillah, lagu ini diterima baik di Indonesia sehingga mencatat lebih 22 juta tontonan di YouTube sejak awal April. Dan kami berharap sambutan sama diterima buat pendengar di Malaysia,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 1 April lalu, Bismillah Cinta terus ‘trending’ bagi kategori muzik di YouTube Indonesia.
Ini kali kedua Ungu berkolaborasi dengan penyanyi dangdut selepas Iis Dahlia menerusi lagu Hampa Hatiku pada 2012. Bagaimanapun, ini kali pertama bagi Lesti berkolaborasi dengan kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




