UniMAP tuan rumah Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Ke-44

UniMAP tuan rumah Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Ke-44
UniMAP tuan rumah Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Ke-44

Zaliman ketika hadir ke Sesi Tamat Latihan Menembak di Lapang Sasar Universiti Utara Malaysia, Kedah.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganggap kepercayaan sebagai tuan rumah Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Universiti Awam ke-44 Tahun 2026 sebagai satu amanah besar, khususnya apabila hampir 2,000 pegawai kadet daripada 20 universiti berkumpul di universiti itu.

Istiadat yang berlangsung pada 12 September ini, menjadi lebih bermakna apabila UniMAP menyambut Jubli Perak kerana penubuhannya yang ke-25 tahun, pada tahun ini.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkap Komandan PALAPES UniMAP, Leftenan Kolonel Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli yang berkongsi persiapan rapi di sebalik penganjuran istiadat bagi memastikan ia berlangsung lancar, teratur dan penuh cemerlang.

SINAR HARIAN: UniMAP diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Isti- adat Pentauliahan Diraja PALAPES Universiti Awam ke-44 pada 12 September ini. Sejauh mana tanggungjawab tersebut memberi makna kepada universiti?

ZALIMAN: Apabila UniMAP dipilih sebagai tuan rumah, ia merupakan satu kepercayaan dan penghormatan yang besar kepada universiti. Istiadat ini berbeza dengan majlis konvokesyen kerana ia melibatkan pegawai kadet daripada 20 universiti awam yang akan berkumpul di UniMAP.

Bermula 25 Ogos, mereka berada di sini selama tiga minggu untuk mengikuti latihan, termasuk kawad dan pelbagai persiapan sebelum istiadat berlangsung pada 12 September ini. Tanggungjawab ini bukan kecil. Kita perlu memastikan semua aspek berjalan lancar termasuk latihan, logistik, penginapan, makanan, pengangkutan, keselamatan dan perjalanan istiadat.

Bagi UniMAP, ini merupakan kali pertama kita menjadi tuan rumah Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Universiti Awam. Lebih istimewa, ia berlangsung pada tahun yang sama UniMAP menyambut Jubli Perak. Jadi, kita melihat penganjuran ini sebagai satu penghormatan dan sebahagian daripada detik penting dalam sejarah universiti.

Apakah cabaran terbesar yang dihadapi UniMAP dalam membuat persiapan untuk acara berskala besar ini?

Cabarannya ialah memastikan semua komponen bergerak serentak dalam tempoh yang ditetapkan. Kita bukan sahaja perlu menyediakan lokasi dan prasarana, tetapi turut mengurus penginapan, makanan, pengangkutan, keselamatan, tetamu serta penyelarasan dengan pelbagai pihak luar.

Jumlah pegawai kadet yang terlibat juga besar iaitu seramai 2000 orang. Jika dicampurkan dengan pasukan yang membantu dari bahagian latihan, pasukan simpanan dan anggota lain yang terlibat secara langsung, jumlah keseluruhannya hampir 4,000 anggota tentera akan berada di UniMAP sepanjang tempoh berkenaan.

Kita melihat cabaran ini sebagai satu amanah. Konsep whole of university amat penting kerana acara seperti ini menguji kemampuan organisasi untuk bekerja secara tersusun, pantas dan bersepadu.

ZALIMAN

ZALIMAN

Bagaimana UniMAP memastikan kemudahan yang diperlukan mencukupi?

Kita mempunyai prasarana yang diperlukan, khususnya dari segi penginapan dan logistik. Asrama universiti akan digunakan untuk menempatkan pegawai kadet serta anggota yang terlibat.

Selain itu, UniMAP turut menaik taraf satu kawasan untuk dijadikan dataran padang kawad yang lebih luas bagi menampung jumlah peserta yang ramai. Padang kawad itu berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira empat bulan selepas kita menerima amanah menjadi tuan rumah.

Ia digunakan untuk latihan bermula 25 Ogos hingga hari istiadat pada 12 September ini. Ini menunjukkan komitmen warga UniMAP untuk memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Apakah keistimewaan Istiadat Pentauliahan Diraja kali ini?

Istiadat ini mempunyai nilai yang cukup besar kerana Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP akan menyampaikan Watikah Pentauliahan Diraja kepada pegawai kadet atau pegawai muda yang di- tauliahkan.

Watikah tersebut merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada mereka. Walaupun mereka berstatus pegawai simpanan, pentauliahan itu membawa amanah dan tanggungjawab yang besar.

Saya melihat pentauliahan bukan sekadar satu majlis atau penyerahan watikah. Ia adalah permulaan kepada perjalanan mereka sebagai pegawai muda dan warganegara yang mempunyai tanggungjawab kepada negara.

Apakah nilai yang mahu diterapkan kepada pegawai muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)?

Nilai paling utama ialah integriti, disiplin, tanggungjawab dan ketahanan diri. Pangkat semata-mata tidak menjadikan seseorang pemimpin. Pangkat memberikan kuasa, tetapi integriti memberikan kewibawaan.

PALAPES bukan hanya untuk melahirkan pegawai simpanan. Kita mahu melahirkan individu yang boleh dipercayai sama ada mereka berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia, sektor awam, industri atau bidang profesional.

Latihan yang dilalui mengajar mereka mematuhi arahan, bekerja dalam pasukan, mengurus tekanan, membuat keputusan dan menerima teguran.

Dalam konteks kedaulatan negara, apakah peranan generasi muda hari ini?

Ancaman terhadap negara sudah berubah. Kedaulatan bukan lagi hanya berkaitan pertahanan fizikal, tetapi turut melibatkan teknologi, keselamatan siber, kecerdasan buatan, ekonomi, tenaga manusia dan ketahanan masyarakat.

Mahasiswa perlu mempunyai ilmu serta karakter untuk menggunakan ilmu tersebut demi kepentingan masyarakat dan negara. UniMAP pula mempunyai kekuatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kejuru- teraan dan teknologi.

Apabila kompetensi teknikal ini digabungkan dengan latihan PALAPES, kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai kompetensi dan karakter. Apakah amanat kepada pegawai muda yang bakal ditauliahkan?

Pentauliahan bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada amanah yang lebih besar. Selepas ini mereka membawa tiga identiti penting, iaitu sebagai graduan, pegawai muda dan warganegara Malaysia.

Jangan melihat pangkat sebagai keistimewaan semata-mata. Lihatlah pangkat sebagai amanah yang perlu dipikul dengan integriti.

Di mana sahaja mereka berada, bawalah disiplin, ilmu, semangat berpasukan dan akhlak yang dibentuk sepanjang latihan PALAPES.

Kedaulatan negara bukan hanya dipertahankan di medan pertahanan. Ia turut dipertahankan melalui ilmu, integriti, teknologi, perpaduan, ekonomi dan kemampuan membina masyarakat yang berdaya tahan.

Pangkat membawa amanah, ilmu membawa tanggungjawab dan bakti kepada termasuk kawad dan pelbagai persiapan negara ialah ukuran sebenar kepimpinan.

 

 

Scroll to Top