am@hmetro.com.my
Melaka: Usaha untuk membaiki kerosakan satu premis niaga di bangunan bersejarah di Jalan Laksamana, Banda Hilir di sini, belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata pihaknya menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) masih menunggu kebenaran untuk membolehkan kerosakan di bangunan Stadhuys atau bangunan merah itu dibaiki mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini ada usaha proaktif yang dibuat kerajaan negeri untuk melaksanakan Zon Bebas Kenderaan (CFZ) secara kekal bagi memastikan keutuhan bangunan bersejarah di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, ketika ini kita sedang mengkaji untuk melakukan CFZ secara kekal seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, sekiranya langkah itu baik, kita akan teruskan,” katanya selepas mewakili Ab Rauf merasmikan National Heritage Conference 2025 sempena Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu di Hotel Hatten, Banda Hilir di sini malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Institut Perancang Malaysia (MIP), Datin Noraida Saludin dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Awal tahun ini, rasuk kayu di satu premis niaga di bangunan merah berkenaan runtuh dipercayai berlaku ekoran gegaran disebabkan kapasiti kenderaan yang banyak melalui jalan berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti panjang.
Susulan itu, MBMB mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada Jabatan Warisan Negara untuk dipanjang kepada pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Rais berkata, gegaran akibat laluan kenderaan di kawasan warisan itu memberi kesan kepada struktur bangunan lama itu yang kebanyakannya tidak mempunyai struktur binaan yang kukuh dan standard.
“Pelaksanaan CFZ adalah satu daripada usaha penting bagi memelihara bangunan daripada kerosakan akibat gegaran kenderaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




